Kenali Semporna





Tong Talun' adalah merupakan nama asal bagi daerah Semporna yang bererti "Hujung Hutan" dalam istilah Suku Kaum Bajau. Orang yang bertanggungjawab untuk menamakan Tong Talun ialah Panglima Uddang, Panglima Sallehangni dan Panglima Sakti dari keturunan Bajau Kubang. Ini kerana pada ketika itu daerah Semporna diliputi/diselubungi oleh hutan belantara di awal penemuannya. Kemudian, Tong Talun telah ditukar dengan nama SEMPORNA yang membawa pengertian "Tempat Yang Aman atau Damai" sehinggalah sekarang.
Daerah Semporna berada dibawah jajahan takluk Kesultanan Sulu, sebuah kuasa politik yang dominan pada suatu masa dahulu. Jajahan takluknya meliputi sebahagian Filipina (sebelah selatan) dan Borneo Utara. Pada1876 kawasan yang dikenali dengan Borneo Utara ini telah diperintah oleh Syarikat 'British North Borneo Chartered Company' yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan British. Bermula dari itu, Sultan Sulu telah menyerahkan Sabah secara "untuk selamanya dan berkekalan" kepada syarikat ini sebagai wilayah kuasa urus-tadbir mereka.

Kuasa lain yang pernah cuba menakluk Semporna termasuklah Belanda, namun mereka gagal berbuat demikian kerana kehadiran syarikat British disini. Pada tahun 1963, Sabah telah bersatu dengan Persekutuan Malaya untuk membentuk Malaysia.

Pulau Umaral (Omadal), sebuah pulau kecil di perairan Semporna merupakan titik penting sejarah Semporna. Ini kerana Pulau Omadal merupakan tempat asal suku kaum Bajau yang mendiami Semporna. Orang Bajau Pulau Omadal merupakan pelaut/ nelayan yang gigih dan aktif dalam perdagangan hasil laut dan seringkali berurusan dengan lain-lain kepulauan termasuklah tanah besar Semporna. Bukti-bukti terhadap kenyataan ini dapat diperhatikan menerusi ukiran/tulisan di batu nisan dan lain-lain artifak yang jelas menandakan mereka ini beragama Islam.

Daerah Semporna juga adalah kawasan kediaman suku kaum nomad (orang-asli) laut yang dikenali dengan 'Palauh'. Kaum ini masih wujud di Semporna hingga kini dan boleh dilihat di perairan Semporna. Mereka tinggal di bot-bot tradisi di laut dan sentiasa berpindah-randah dari satu pulau ke pulau yang lain. Kaum palauh hanya akan singgah ke tanah besar Semporna jika memerlukan barangan harian atau sebab kematian. Kini sesetengah mereka telah berubah kepada kehidupan yang moden.










































..

Visiter Of My Blog